LAPORAN FORUM MEMBINA JATI DITI BELIA BERKEMAHIRAN
Anjuran : Jemaah Islah Malaysia (JIM) Daerah Hulu Langat dengan kerjasama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, Hulu Langat Selangor.
Tarikh : 2 Mac 2010
Tempat : Institut Kemahiran Belia Nasional (IKBN) Dusun Tua, Hulu Langat.
Satu forum telah diadakan di IKBN pada malam 2 Mac 2010 , kerjasama antara Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Daerah Hulu Langat dan IKBN. Forum yang bertemakan “ Membina Jatidiri Belia Berkemahiran” telah di sampaikan oleh dua (2) ahli panel iaitu Prof Madya Dr Harlina Halizah Hj Siraj , Naib Presiden JIM dan Encik Norizan Shariff, Pengarah Urusan Institut Perkembangan Minda Malaysia (INMIND) yang juga merangkap bekas Setiausaha Agong Majlis Belia Malaysia.
Forum tersebut telah diadakan di Masjid IKBN Hulu Langat, Selangor dan dihadiri oleh Pengarah IKBN Hulu Langat, Hj Borhan bin Harman serta staff IKBN, YDP JIM Daerah Hulu Langat Ustaz Mohd Rujhan Adnan dan YDP JIM Cheras Ustaz Zulkifli Ahmad serta barisan AJK JIM Daerah Hulu Langat. Moderator program malam tersebut adalah Tuan Syed Omar Syed Mohamad, Ketua Perhubungan JIM Daerah Hulu Langat.
Forum ini atas usaha JIM Daerah Hulu Langat adalah salah satu usaha JIM untuk memperkukuhkan ketahanan dalaman dan jati diri pelatih IKBN yang bakal menjadi pekerja dalam sector Industri Negara. Dalam majlis forum ini juga JIM Daerah Hulu Langat telah memberikan sumbangan wang kepada IKBN untuk menampung kos program ILMU yang berterusan dikendalikan oleh Masjid IKBN. Harapan JIM, Masjid IKBN akan terus berperanan memberikan program-program pendidikan yang bermanfaat demi membina pemikiran dan sekaligus sahsiah belia industry yang kukuh.
Forum tersebut yang dihadiri kira-kira 400 orang para pelatih IKBN dari lelaki dan perempuan telah membincangkan tema Membina Jatidiri Belia Berkemahiran. Di antara noktah-noktah penting yang dinyatakan oleh En Norizan Shariff adalah belia yang ada jati diri itu adalah berpaksikan kepada maksud jati diri itu sendiri iaitu yang asli, yang tulen, belia yang sentiasa berada dalam keadaan fitrah asal diciptakan ia oleh pencipta sebagai khalifah, hamba Allah dan pemegang amanah memimpin dunia ini dengan agama Allah. Jatidiri juga ada kaitan yang rapat dengan Integriti ia itu katanya “ kita cakap, apa yang kita buat dan kita rasa berdasarkan fitrah yang pencipta kurniakan pada kita”. Pemuda yang ada jati diri katanya lagi “ lantaran dia menjaga fitrah dalam diri dia , dia ada prinsip dan dia tidak mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir luar yang negative malah senantiasa mencari-cari jalan untuk membaiki diri untuk jadi insan yang cemerlang dunia dan akhirat”.
Beliau juga menyatakan dengan terdedahnya belia kepada Globalisasi, dunia tanpa sempadan melalui media cetak & maya seperti internet. 3 perkara penting belia wajib mengawal dan menapis ia itu Ilmu Pengetahuan, Budaya dan Pemikiran. Belia yang mempunyai jati diri yang sebenar akan menghadapi globalisasi ini dengan memanfaatkan teknologi tanpa sempadan ini dengan hanya mengambil elemen-elemen yang positif sahaja dari 3 perkara penting itu dan tidak dipengaruhi oleh anasir-anasir negatif.
Prof Madya Dr Harlina Siraj, Naib Presiden JIM pula memulakan pandangan beliau dengan mengajak para belia membaca buku tulisan Cik Roha Hassan “ Aku Ori bukan Fotokopi”. Dr Harlina menyatakan bahawa manusia ini dikurniakan oleh Allah menurut kajian Howard Gardner dengan Sembilan (9) kepintaran dan beliau mengatakan tidak semestinya jika seseorang itu tidak maju dalam bidang akademiknya , beliau tidak boleh Berjaya dalam hidupnya kerana di sana manusia dikurniakan dengan Sembilan (9) kepintaran yang boleh dibina potensi itu.
Beliau menekankan yang penting dalam membina jati diri, belia mempunyai satu kesedaran dan keinsafan bahawa hidup ini adalah amanah Allah dan setiap kita akan dipertanggungjawabkan oleh Allah dimahkamah Allah. Semua anggota badan akan bercakap di depan Allah sebagai saksi. Perasaan keimanan ini / keyakinan ini hendaklah sentiasa di tanam, dijaga dan disuburkan sebagai panduan/kompas yang memandu jati diri anak-anak belia. Senario masa kini penglibatan anak-anak belia dengan perkara-perkara negatif seperti merempit, zina dan sebagainya adalah berpunca dari anak-anak belia yang tidak dapat menjaga nilai-nila ini dan juga ibu-bapa yang tidak dapat berperanan dengan sebaik-baiknya untuk memenuhi tuntutan agama yang asasi dan menghadapi tuntutan zaman masa kini yang dihadapi oleh para belia.
Kebanyakan anak-anak belia tidak mendapat apa yang dikehendaki dari ibu-bapa mereka untuk menghadapi zaman yang mencabar ini dan akhirnya mereka tersasar dalam hidup mereka. Dr Harlina mengatakan “ anak-anakku yang dikasihi sekalian, maafkan dosa kami – ibu bapa yang ramai tidak berperanan untuk memimpin anda semua sebagaimana sepatutnya dan oleh itu Dr ingin berpesan pada anak-anak sekalian – carilah PEDOMAN itu dengan usaha gigih sendiri dan carilah hidayah dan petunjuk itu dalam agama Allah ini …pasti kamu akan di pimpin oleh Nya.
Dr Harlina juga berpesan terutama kepada belia lelaki akan bahana gejala zina yang berleluasa sekarang ini dan perasaan tanggungjawab yang sangat rendah dan jati diri yang sangat rendah dikalangan para belia. Beliau mengingatkan akan perbuatan zina itu pasti akan dipertanggungjawabkan oleh Allah di hari akhirat nanti di depan Allah. Beliau mengingatkan para hadirin supaya jangan menghampiri zina mengambil ayat dalam surah Al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud "Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang jelek". Forum ini telah ditamatkan pada jam 10.30 malam dan diakhiri dengan penyampaian sumbangan JIM kepada IKBN Dusun Tua dan penyampaian cenderamata kepada panel forum.
Sekian laporan dari Biro Perhubungan JIM Daerah Hulu Langat.
Ahli panel forum sedang memberikan berbicara.
Pelajar-pelajar IKBN sedang khusyuk mendengar forum
Dr Harlina sedang memberikan amanah yang terakhir kepada pelajar-pelajar IKBN
Pelajar-pelajar IKBN sedang khusyuk mendengar forum
Ustaz Rujhan bin Adnan YDP JIM Hulu Langat bersama-sama dengan Pengarah IKBN Hulu Langat, Hj Borhan bin Harman
Dr Harlina bersama-sama para pelajar IKBN
