Tuesday, January 5, 2010

Isu Kalimah Allah Sangat Sensitif

KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM)
5 Januari 2010
Isu Kalimah Allah Sangat Sensitif
1.     Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember 2009, membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Catholic Herald Weekly, telah membangkitkan sentimen keagamaan. Keputusan itu juga bercanggah dengan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam yang telah digazetkan di sepuluh (10) negeri.

2.     Oleh kerana keresahan ini timbul ekoran keputusan mahkamah, JIM berpandangan penyelesaiannya juga harus dicari melalui proses undang-undang. JIM menyokong usaha segera kerajaan untuk merayu dan untuk memohon penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi itu.
 
3.     JIM menyeru semua pihak supaya memberi peluang proses undang-undang (due process) berjalan tanpa tekanan mana-mana pihak. JIM juga menyeru semua pihak agar memastikan respon kepada keputusan mahkamah ini tidak menjerumuskan Malaysia kepada kekacauan di antara penganut-penganut agama.
 
4.     JIM juga menyeru pihak agama Katolik untuk berhati-hati dalam menggunakan kebenaran mahkamah ini, kerana umat Islam amat sensitif jika nama Allah dikaitkan dengan perkara yang tidak selayaknya bagi Allah. Isu ini jauh lebih sensitif dari isu kartun Nabi Muhammad yang disiarkan oleh media di Denmark dahulu.
 
5.     JIM berharap isu ini diselesaikan dengan segera supaya ia tidak membawa kepada polarisasi di kalangan rakyat Malaysia, hingga memberi kesan jangka panjang.
 
6.     JIM juga berharap satu lagi pihak, difahamkan Sidang Injil Borneo, yang akan membuat tuntutan yang sama di mahkamah supaya menangguhkannya sehingga kes yang ada sekarang selesai.
Zaid bin Kamaruddin
Presiden
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
..................................................................................................................................................................................
Kenyataan akhbar PACE
5 Januari 2010
PACE desak Kerajaan Mesir supaya menghentikan tindakan menutup terowong kemanusiaan ke Gaza dan memberi laluan kepada konvoi Viva palestina 3
PACE merakamkan rasa dukacita yang amat sangat atas sikap dan pendirian Kerajaan Mesir yang amat jelas bertentangan dengan prinsip kemanusiaan sejagat apabila bertindak menghalang bantuan kemanusiaan yang diterajui oleh konvoi Viva Palestina 3 dari memasuki Gaza. Konvoi Viva Palestina 3 yang digerakkan oleh ahli Parlimen Britain, George Galloway terdiri dari 240 buah ambulan dan lain-lain kenderaan yang membawa bekalan ubat-ubatan, makanan dan keperluan asas telah bertolak dari London pada 5 Disember 2009 merentasi Benua Eropah melalui jalan darat dan sepatutnya dijadualkan tiba di Gaza pada 27 Disember yang lalu. Bantuan ini merupakan sumbangan dari masyarakat antarabangsa tanpa mengira negara, bangsa dan agama. Rakyat Malaysia sendiri melalui PACE, FIMA dan orang perorangan yang bergabung di bawah inisiatif VPM (Viva Palestina Malaysia) telah menyumbang sebanyak 4 buah ambulan. Di samping itu inisiatif yang digerakkan oleh Tun Dr Mahathir turut menyumbang 5 buah ambulan di dalam konvoi tersebut.
Malangnya apabila sampai di Aqaba, Jordan, Kerajaan Mesir tidak memberi kebenaran kepada konvoi tersebut untuk memasuki Gaza melalui pelabuhan Nuweiba di Semenanjung Sinai. Pelabuhan Nuweiba adalah pelabuhan utama dan sangat sesuai untuk mengendalikan jumlah kenderaan yang begitu besar. Namun atas alasan yang direka oleh Kerajaan Mesir telah menyebabkan konvoi berpatah balik melalui Syria dan kemudian mengambil laluan Laut Mediterranean untuk memasuki Mesir dari pelabuhan al-Arish. Pelabuhan al-Arish bukanlah pelabuhan utama dan jika konvoi tersebut memilih untuk memasuki Mesir melalui al-Arish maka mereka terpaksa menyewa 3 buah feri di samping terpaksa menggunakan khidmat pengangkutan udara bagi mengangkut sebahagian dari barang-barang bantuan. Ini melibatkan kos tambahan yang besar iaitu lebih dari USD 500,000 dan ia merupakan satu tanggungan yang cukup besar untuk ditampung oleh Viva Palestina.
Di samping itu Mesir turut mengenakan dua syarat yang tidak munasabah iaitu Viva Palestina mesti menyalurkan bantuan tersebut melalui UNRWA untuk diserahkan kepada penduduk Gaza, dan kedua mesti mendapat kelulusan Israel bagi memasuki Gaza. Adalah satu penghinaan untuk meminta izin dari entiti zionis yang menjadi punca kepada kepungan dan penderitaan rakyat Gaza selama ini.
Adalah amat penting bagi masyarakat antarabangsa mendesak kerajaan Mesir agar mempamerkan rasa persaudaraan Islam dan kemanusiaan sejagat ke atas rakyat Gaza yang hidup dalam keadaan dhaif setelah mengalami sekatan ekonomi menyeluruh dan kepungan sejak tiga tahun yang lalu. Kepungan dan sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Israel adalah menyalahi undang-undang kerana ia mencabar Resolusi PBB 1860 yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB yang memastikan bekalan makanan, ubat-ubatan dan bahan api dibekalkan dan edarkan ke seluruh Gaza tanpa sebarang sekatan dan gangguan. Kelumpuhan ekonomi yang dialami oleh Gaza diparahkan lagi dengan serangan biadap yang dilancarkan oleh Israel pada 28 Disember 2008 dan berterusan selama 22 hari sehingga Januari 2009. Serangan ataupun lebih tepat lagi pembantaian dan pembunuhan beramai-ramai ke atas penduduk awam Gaza telah mengorbankan 1,417 jiwa, separuh darinya adalah wanita dan kanak-kanak. Di samping itu jumlah yang tercedera melebihi 5,000 yang menjadi mangsa kepada senjata pemusnah besar-besaran Israel termasuklah pesawat terbang kawalan jauh ‘predator drone’, peluru berpandu, bedilan kereta kebal, tembakan kapal perang dan bom fosforus puteh yang diharamkan dan disasarkan di tempat-tempat awam. Penderitaan yang tidak terperi ditanggung oleh penduduk Gaza apabila serangan berlaku dalam keadaan mereka tidak dapat keluar dari Gaza dan mencari perlindungan di negara-negara Arab yang berjiran. Bahkan Mesir bertindak menutup sempadan dan menghalang rakyat Gaza yang tercedera menyeberang masuk ke Mesir untuk mendapat rawatan melalui satu-satunya pintu masuk ke Gaza dari Mesir iaitu di Rafah. Bukan sahaja rakyat Gaza tidak dapat memasuki Mesir, bahkan bantuan perubatan dan bekalan ubat-ubatan yang dikirim dari seluruh dunia tidak dibenarkan masuk ke Gaza oleh kerajaan Mesir. Tindakan tidak berperi kemanusiaan ini mencerminkan sikap kerajaan Mesir yang sebenar. Apakah mereka bertindak atas telunjuk Israel dan sekutunya Amerika Syarikat dan mengenepikan tanggungjawab terhadap keselamatan penduduk Gaza.
Kini Kerajaan Mesir bertindak lebih kejam dengan menanam kepingan keluli sedalam 20 hingga 30 meter untuk menutup laluan terowong ke Gaza, satu-satunya ruang yang masih wujud untuk menyalurkan keperluan makanan, ubat-ubatan dan bekalan asas yang lain. Semua ini menimbulkan pelbagai persoalan tentang peranan Mesir di dalam menangani isu Gaza.  Apakah Mesir dipergunakan untuk menjaga kepentingan Israel dan Amerika Syarikat sehingga tergamak melakukan sesuatu yang amat bertentangan dengan prisip asas hak asasi penduduk Gaza.
PACE dengan ini mendesak kerajaan Mesir untuk memenuhi tuntutan berikut:
1.       Kerajaan Mesir didesak atas dasar keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Gaza agar memudahkan   laluan masuk konvoi Viva Palestina ke Gaza. Kerajaan Mesir sewajarnya memudahkan laluan konvoi dan menyediakan logistik yang munasabah bagi memudahkan penyampaian barang bantuan kepada penduduk Gaza.
2.       Mendesak Kerajaan Mesir supaya mengizinkan sukarelawan dari seluruh dunia yang berada di Kaherah untuk menyertai perarakan keamanan di Gaza sebagai tanda sokongan dan solidarity kepada penduduk Gaza yang terkepung dan teraniaya oleh sikap biadap Israel.
3.       Menuntut Kerajaan Mesir supaya menghentikan kerja-kerja menanam tembok konkrit di dalam tanah untuk menutup laluan terowong ke Gaza. Sehubungan dengan ini PACE menyokong kenyataan Presiden IUMS (Kesatuan Antarabangsa Ulama Islam) iaitu Prof. Dr Yusuf al-Qardhawi yang mendesak agar seluruh rakyat Mesir bangkit mendesak kerajaan mereka menghentikan jenayah ini serta menyeru Liga Arab dan Pertubuhan Negara-negara Islam OIC supaya campur tangan untuk menghentikan tragedi ini.
4.       Membidas kedutaan Mesir ke Malaysia yang memberi pelbagai alasan yang mengelirukan apabila mewajarkan tindakan kerajaan Mesir menyekat pergerakan konvoi Viva Palestina dengan penipuan dan dakwaan tidak benar.
PACE juga mengambil kesempatan ini untuk menyeru seluruh rakyat Malaysia dan warga dunia yang prihatin supaya melakukan perkara-perkara berikut:
1.       Bangkit menyatakan bantahan kepada Kedutaan Mesir dan mengenakan tekanan kepada Kerajaan Mesir supaya mempamerkan sikap kemanusiaan yang tinggi terhadap penderitaan dan kesengsaraan yang dihadapi oleh penduduk Gaza. Keprihatinan ini perlu dibuktikan dengan membuka laluan dan memudahkan perjalanan konvoi Viva Palestina memasuki Gaza dan menghentikan jenayah menutup terowong ‘kehidupan’ ke Gaza.
2.       Keluar untuk menyatakan sokongan ke atas inisiatif yang dilakukan oleh mana-mana pihak untuk mendesak Mesir supaya tunduk kepada tuntutan masyarakat antarabangsa yang prihatin ke atas nasib penduduk Gaza dan menyokong usaha untuk menghentikan kepungan ke atas Gaza.
3.       Menghulurkan bantuan kewangan bagi menampung kos tambahan yang kini terpaksa ditanggung oleh konvoi Viva Palestina akibat dari perubahan laluan yang dikenakan oleh Mesir untuk masuk ke Gaza. Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan mereka kepada Tabung Palestin yang diwujudkan khas melalui Maybank No akaun 562209608847 atas nama Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia. Sila nyatakan sumbangan adalah khusus untuk Viva Palestina 3 dan faks kan slip deposit ke 03-41071754. Sebarang pertanyaan sila kemukakan kepada En Nasir Tampol di no tel 03-41089669.
Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE (Pusat Kecemerlangan Palestin)
.......................................................................................................................................................................................................................

Beza Antara Merebut Nama Allah Dan Mempertahankan Akidah

oleh : MAZA

Hendaklah kita jelas bahawa yang membezakan akidah Islam dan selainnya bukanlah pada sebutan, atau rebutan nama Allah, sebaliknya pada ketulusan tauhid dan penafian segala unsur syirik.
Banyak pihak mendesak saya memberikan pandangan tentang penggunaan nama Allah oleh agama lain khususnya agama Kristian di Malaysia ini. Pada awalnya, saya selalu mengelak, cuma memberikan pandangan ringkas dengan berkata: “Isu ini bukan isu nas Islam, ianya lebih bersifat pentadbiran atau tempatan.
Peraturan ini mungkin atas alasan-alasan setempat seperti kenapa sekarang baru ditimbulkan isu ini? Kenapa hanya Bible dalam bahasa melayu sahaja yang hendak menggunakan panggilan Allah, tidak pula edisi inggerisnya? Adakah di sana ada agenda tersembunyi? Maka wujudnya tanda soal dan beberapa prasangka yang mungkin ada asasnya. Maka lahirlah kebimbangan terhadap kesan yang bakal timbul dari isu itu nanti.
Namun, akhir-akhir ini saya terus didesak. Saya kata: jika anda hendak tahu pendirian Islam bukanlah dengan falsafah-falsafah tentang akar bahasa itu dan ini yang diutamakan. Rujuk terdahulu apa kata al-Quran dan al-Sunnah. Lepas itu kita bincang hukum berkenaan bertitik tolak dari kedua sumber tersebut.
Kadang-kala kesilapan kita dalam mempertahankan perkara yang tidak begitu penting, boleh melupakan kita kepada isu yang lebih penting. Isu yang terpenting bagi saya adalah kefahaman mengenai keadilan dan kerahmatan Islam yang mesti sampai kepada setiap rakyat negara ini, muslim atau bukan muslim. Supaya gambaran negatif yang salah terhadap Islam dapat dikikis dari minda mereka yang keliru.
Di samping itu, hendaklah kita jelas bahawa yang membezakan akidah Islam dan selainnya bukanlah pada sebutan, atau rebutan nama Allah, sebaliknya pada ketulusan tauhid dan penafian segala unsur syirik. Di samping, kita mesti bertanya diri kita: mengapakah kita sentiasa merasakan kita akan menjadi pihak yang tewas jika orang lain memanggil tuhan Allah? Mengapakah kita tidak merasakan itu akan lebih memudahkan kita menyampaikan kepada mereka tentang akidah Islam?. Maka, apakah isu ini bertitik tolak dari nas-nas Islam, atau kebimbangan disebabkan kelemahan diri umat Islam itu sendiri?
Jika kita membaca Al-Quran, kita dapati ia menceritakan golongan musyrikin yang menentang Nabi Muhammad s.a.w juga menyebut nama Allah dan al-Quran tidak membantah mereka, bahkan itu dijadikan landasan untuk memasukkan akidah Islam yang sebenar. Firman Allah: (maksudnya) “Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!” (Surah al-Zukhruf ayat 87-88).
Firman Allah dalam ayat yang lain: (maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).
Ayat-ayat ini, bahkan ada beberapa yang lain lagi menunjukkan al-Quran tidak membantahkan golongan bukan muslim menyebut Allah sebagai Pencipta Yang Maha Agung. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w disuruh untuk mengucapkan kesyukuran kerana mereka mengakui Allah. Apa yang dibantah dalam ayat-ayat ini bukanlah sebutan nama Allah yang mereka lafazkan, sebaliknya ketidak tulusan tauhid yang menyebabkan akidah terhadap Allah itu dipesongkan atau bercampur syirik.
Justeru, soal bukan muslim mengakui Allah tidak dibantah oleh Islam, bahkan kita disuruh bersyukur kerana pengakuan itu. Cuma yang dibantah ialah kesyirikan mereka. Umpamanya, jika kita mendengar bukan muslim menyebut “Allah yang menurunkan hujan, atau menumbuhkan tumbuhan”, maka kita tentu gembira kerana dia mengakui kebesaran Allah.
Apakah patut kita kata kepadanya: awak jangan kata Allah yang menurunkan hujan, atau mencipta itu dan ini, awak tidak boleh kata demikian kerana awak bukan muslim, sebaliknya awak kena kata tokong awak yang menurun hujan”. Apakah ini tindakan yang betul? Tidakkah itu menjauhkan dia dari daerah ketuhanan yang sebenar? Kita sepatutnya berusaha mendekatkan dia kepada ajaran yang benar. Namun, jika dia berkata: “Tokong ini adalah Allah”. Saya kata: “Awak dusta, itu tidak benar! Maha suci Allah dari dakwaan awak”.
Maka, ketika Allah menceritakan peranan peperangan dalam mempertahankan keamanan dan kesejahteraan manusia, Allah menyebut: (maksudnya) “..dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang (pencerobohan) setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam semua tempat itu dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Perkasa. (Surah al-Hajj ayat 40).
Ayat ini mengakui tempat-tempat ibadah itu disebut nama Allah. Adapun berhubung dengan orang Kristian, Allah menyebut: (maksudnya) “Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti)”. padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa..(Surah al-Maidah ayat 73). Ayat ini tidak membantah mereka menyebut Allah, tetapi yang dibantah adalah dakwaan bahawa Allah adalah satu dari yang tiga.
Justeru itu kita lihat, orang-orang Kristian Arab memang memakai perkataan Allah dalam Bible mereka, juga buku-buku doa mereka. Tiada siapa pun di kalangan para ulama kaum muslimin sejak dahulu yang membantahnya. Jika ada bantahan di Malaysia, saya fikir ini mungkin atas alasan-alasan setempat yang saya sebutkan pada awal tadi. Cuma yang diharapkan, janganlah bantahan itu akhirnya memandulkan dakwah Islam dan menjadikan orang salah faham terhadap agama suci ini.
Saya selalu bertanya sehingga bilakah kita di Malaysia ini akan begitu defensive, tidak memiliki anti-bodi dan tidak mahu berusaha menguatkannya dalam diri? Akhirnya, kita terus bimbang dan takut kepada setiap yang melintas. Padahal itu bukan sifat Islam. Islam agama yang ke hadapan, misi dan intinya sentiasa disebarkan. Sehingga Allah menyebut: (maksudnya):“Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang selamat. Demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). (Surah al-Taubah ayat 6).
Ada orang tertentu yang berkata kepada saya: nanti orang Islam keliru kerana sebutan nama Allah itu sama antara mereka dan Islam. Lalu rosak akidah orang Islam kita nanti. Saya berkata kepadanya: “Jikalaulah sebutan nama tuhan itulah yang menentukan akidah Islam, tentulah golongan musyrikin Mekah tidak memerlukan akidah yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Mereka telah sekian lama memanggil tuhan dengan panggilan Allah.
Lihatlah bapa Nabi kita Muhammad bernama ‘Abdullah yang bermaksud hamba Allah. Tentu sekali bapa baginda lahir pada zaman jahiliah sebelum kemunculan baginda sebagai rasul. Nama itu dipilih oleh datuk Abdul Muttalib yang menjadi pemimpin Quraish pada zaman dahulu. Quraish pada zaman jahiliah juga bertawaf dengan menyebut: LabbaikalLahhumma yang bermaksud: Menyahut seruanMu ya Allah!
Al-Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut: “Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”. Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut. Ternyata mereka menggunakan nama Allah.
Maka yang membezakan akidah Islam dan selainnya adalah tauhid yang tulus yang menentang segala unsur syirik. Ketidak jelasan dalam persoalan inilah yang menggugat akidah jenerasi kita. Mereka yang berakidah dengan akidah Islam sangat sensitif kepada sebarang unsur syirk agar tidak menyentuh akidahnya. Bukan semua yang mengakui Allah akan dianggap beriman dengan iman yang sah selagi dia tidak membersihkan diri dari segala unsur syirik.
Lihat, betapa ramai yang memakai serban dan jubah, berzikir sakan tetapi dalam masa yang sama menyembah kubur-kubur tok wali tertentu dengan cara menyeru dan merintih pemohonan darinya. Ini yang dilakukan oleh sesetengah tarekat yang sesat. Apa beza mereka ini dengan yang memanggil nama-nama berhala yang asalnya dari nama orang-orang saleh juga, yang mati pada zaman dahulu.
Firman Allah: (maksudnya) Ingatlah! Untuk Allah agama yang suci bersih (dari segala rupa syirik). dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung (sambil berkata): “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan Yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik). (Surah al-Zumar ayat 3).
Di Malaysia kita pun ada yang memakai gelaran agama menentang pengajaran tauhid rububiyyah, uluhiyyah, asma dan sifat. Mereka ini menyimpan agenda musuh-musuh dakwah. Padahal pengajaran tauhid yang sedemikianlah yang mampu menjadikan muslim memahami dengan mudah hakikat tauhid. Mampu membezakan antara; sekadar mempercayai kewujudan Allah dengan mentauhidkan Allah dalam zatNya, ibadah kepadaNya dan sifat-sifatNya.
Persoalan tauhid anti syirik ini begitu mudah dan ringkas untuk memahaminya. Nabi s.a.w telah menyebarkannya dengan begitu pantas dan mudah. Seorang badawi buta huruf yang datang berjumpa baginda mampu memahami hanya dalam beberapa sessi ringkas. Bahkan mampu pulang dan mengislamkan seluruh kaumnya dengan akidah yang teguh. Namun, di kalangan kita, pengajaran akidah yang dinamakan ilmu kalam begitu berfalsafah dan menyusahkan.
Bukan sahaja badwi, orang universiti pun susah nak faham. Sehingga seseorang bukan bertambah iman, tetapi bertambah serabut. Bertahun-tahun masih dalam kesamaran. Diajar Allah ada, lawannya tiada, dengar lawannya pekak, lihat lawannya buta..lalu ditokok tambah dengan falsafah-falsafah dan konsep-konsep yang menyusahkan. Padahal penganut agama lain juga menyatakan tuhan itu ada, melihat, tidak buta, mendengar, tidak pekak dan seterusnya. Apa bezanya jika sekadar memahami perkara tersebut cuma?
Maka anak-anak orang Islam kita gagal memahami hakikat tauhid anti-syirik yang sebenar. Padahal ianya begitu mudah semudah memahami kalimah-kalimah akidah dalam surah al-Ikhlas yang ringkas. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah…Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru itu imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka” (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da’iyah, m.s. 92 Beirut: Muassasah al-Risalat). Dahulu kelemahan ini mungkin tidak dirasa, tetapi apabila kita hidup dalam dunia persaingan, kita mula menderitai kesannya.
Jika akidah jenerasi kita jelas, apakah mereka boleh keliru antara ajaran Islam dan Kristian? Adakah mereka tidak tahu beza antara ajaran yang menyebut tuhan bapa, tuhan anak dan ruhul qudus dengan akidah Islam yang anti-syirik, hanya disebabkan adanya sebutan Allah? Begitu jauh sekali perbezaan itu! Bagaimana mungkin sehingga mereka tidak dapat membezakan antara malam dan siang? Apakah juga nanti kita tidak membenarkan pihak lain menyebut nama nabi Ibrahim, Ishak, Ya’kub, Daud dan lain-lain kerana budak-budak kita akan keliru lagi. Akidah apakah yang mereka belajar selama ini di KAFA, JQAF dan berbagai lagi sehingga begitu corot. Kalau begitu, sama ada sukatan itu lemah, atau tenaga pengajarnya perlu dibetulkan.
Maka sebenarnya, isu ini adalah isu kelemahan kita umat Islam dalam memahami akidah yang sebenar. Jenerasi kita tidak mempunyai benteng akidah yang kukuh. Lalu kita semua bimbang mereka keliru dengan akidah orang lain. Untuk mengatasi masalah ini, kita cuba mengambil pendekatan undang-undang. Agar dengan halangan undang-undang, kelemahan akidah generasi kita dapat dipertahankan.
Persoalan yang patut kita fikirkan, sehingga bilakah kita akan mampu terus hidup hanya berbekalkan oksigen dari saluran undang-undang sehingga kita yang majoriti, dengan segala peruntukan yang ada; TV, radio, berbagai-bagai institusi dan agensi yang dilindungi, masih takut kepada gerakan minoriti? Di manakah kehebatan Islam yang selalu kita sebut dan ceritakan sejarah kegemilangannya? Atau sebenarnya, kita tidak memiliki Islam seperti hari ia diturunkan? Maka kempen Islam kita selalu tidak berkesan.
Bagi saya, bukan soal nama Allah itu yang terlalu perlu untuk direbut atau dijadikan agenda besar. Tetapi, gerakan membina semula akidah yang sejahtera dan memahamkan generasi kita wajah Islam yang sebenar agar mampu bersaing dan menghadapi cabaran zaman.

Monday, January 4, 2010

Pada 26 Disember…

by syahrilkadir
 
26 Disember 1996 Keningau,  Sabah
Pada malam itu, satu tragedi yang paling dahsyat direkodkan berlaku di negara ini, tidak pernah tragedi seteruk itu sebelum malam berkenaan.
Ribut Tropika Greg melanda Sabah dengan kawasan paling teruk terjejas adalah Keningau manakala Kota Kinabalu, Papar, Sipitang, Tuaran, Beaufort hanya mengalami kerosakan kecil.
Bencana alam itu dipercayai mengorbankan mangsa paling ramai dalam sejarah tragedi bencana alam di Malaysia; lebih 200 mangsa terkorban dan 102 lagi hilang dalam ribut yang berlaku selama kira-kira lima jam, bermula jam 1 pagi dan berakhir sekitar 6.30 pagi.
Di Keningau, kemusnahan dua kampung berhampiran Sungai Pampang iaitu Kampung Pampang dan Limbawan ibarat ‘padang jarak padang tekukur’ manakala sebuah kampung dikenali Batu Satu atau Kandang Ayam yang didiami kebanyakan warga Indonesia keturunan Tator, musnah sama sekali.
Sungai Pampang, Bayayo, Liawan dan Sinagang melimpah dan hujan berterusan menyebabkan sembilan kampung ditenggelami banjir kilat sekali gus merosak dan menghanyutkan sejumlah 500 rumah penduduk di tebing sungai. Kira-kira 3,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.

26 Disember 2003
satu kejadian gempa bumi dengan kekuatan 6.5 skali richter telah berlaku di wilayah Bam, Iran
ia menyebabkan 45,000 orang penduduk telah terbunuh

26 Disember 2004 Banda Aceh, Sumatera, Indonesia
Pada pagi yang hening, 26 Disember lalu secara tiba-tiba ruang udara Banda Aceh dikejutkan suasana kicauan berpuluh ribu bangau putih berterbang rendah. Penduduk setempat tergamam dengan kehadiran luar biasa kumpulan bangau putih yang entah dari mana datangnya pada jam 7.30 hingga 7.45 pagi.
kehadiran bangau putih itu cuba memberitahu sesuatu kepada manusia tetapi penduduk sekitar tidak memahaminya. Malah ada yang cuba bermain-main dan membaling batu ke arah kumpulan bangau putih itu.
Bagaimanapun akibat leka dengan kehadiran kumpulan bangau putih berkenaan, secara tiba-tiba kira-kira 15 hingga 30 minit kemudian, berlaku gegaran gempa bumi pertama setengah jam kemudian menyebabkan penduduk Banda Aceh bertempiaran lari.
Gegaran kedua menyusul beberapa minit selepas itu hingga meranapkan bangunan termasuk pusat beli-belah, kedai, sekolah dan rumah di sekitar bandar terbabit. Ini diikuti ombak besar atau tsunami setinggi 30 hingga 40 meter. Cukup dahsyat untuk digambarkan menerusi kata-kata.
seramai 230,000 orang warga Aceh meninggal dunia

 26 Disember 2009
Sepuluh penumpang maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila bas dua tingkat Sani Express terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8, Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan, awal pagi ini.


SAK: Suratan Atau Kebetulan?

Program Zakat JIMDHL

Assalamua'laikum,

Alhamdulillah, sehingga hari ini ikhwah/akhawat Hulu Langat yang bersama berzakat melalui JIMDHL (100% potongan cukai) telah mencecah melebihi RM 50k untuk bayaran akhir tahun 2009.

Kepada yang masih belum berzakat yang merasakan akan terpaksa membayar cukai ke LHDN pada buan April nanti, jangan lepas peluang. Kami masih boleh menerima sumbangan zakat antum, dan masih layak untuk mendapat potongan cukai 2009. Segera hubungi kami, jangan sampai terlambat.

Boleh bank-in terus ke Maybank, 562384051685, Mohamad Rosli Mat Ali. Sila sms, nama penuh, no k/p., alamat, tarikh, masa & amount ke 013 392 7331 selepas bank in untuk reference.

Semoga dengan penyertaan antum semua melalui program zakat ini akan membantu JIMDHL mencapai hajat untuk memiliki bangunan Pusat Aktiviti sendiri. Juga untuk memudahkan perjalanan aktiviti yang dirancangkan.

Wassalam.
Rosli

ZIAD – ZIARAH AMAL DAKWAH


3HB JAN 2010
PERKAMPUNGAN DARUL HIDAYAH , HULU LANGAT, SELANGOR
PROGRAM : ZIAD – ZIARAH AMAL DAKWAH .
JIM DAERAH HULU LANGAT (DHL)DIBAWAH PIMPINAN USTAZ  MUHAMMAD RUJHAN ADNAN TELAH DIJEMPUT OLEH TV 9 UNTUK DIWAWANCARA SERTA PENGAMBARAN OLEH CREW TV 9 UNTUK SLOT BERITA PUKUL 8 MALAM INI – AHAD 3 HB JAN 2010. PROGRAM INI ADALAH SUSULAN DARIPADA TINDAKAN CEPAT JIM DAERAH HULU LANGAT MENYANTUNI ISU MASYARAKAT DALAM PAKAGE  “ZIAD” – ZIARAH AMAL DAKWAH DI HULU LANGAT, SELANGOR BERMULA RAMADHAN 2009. ISU YANG DISANTUNI ADALAH -  PEMBELAAN ANAK YATIM DARUL HIDAYAH YANG KEHILANGAN AYAH AKIBAT DARIPADA KEMALANGAN JALAN RAYA. ANAK-ANAK YATIM TERSEBUT SERAMAI 12 ADIK BERADIK YANG MANA 8 DARIPADANYA MASIH BERSEKOLAH. JIM DHL DAN JIM CHERAS  TURUN BERKERJASAMA DENGAN  JKK DARUL HIDAYAH DIBAWAH PIMPINAN TUAN HJ WAN YUNUS , MENGUMPUL DANA UNTUK PEMBIYAAN PENDIDIKAN ANAK-ANAK TERSEBUT. DANA TERSEBUT TELAH DISAMPAIKAN DALAM SATU MAJLIS PELANCARAN PEMUFAKATAN LANGAT DI RUMAH HJ YUNUS – PEMEGANG AMANAH TABUNG ANAK-ANAK YATIM TERSEBUT. SUMBANGAN TERSEBUT DISAMPIKAN OLEH KETUA WANITA JIM PUSAT DR HARLINA SIRAJ.
SUSULAN DARIPADA PROGRAM TERSEBUT,  TV 9 TERPANGGIL UNTUK TURUN MEMBERI LIPUTAN DALAM SLOT “HUMAN INTEREST”  UNTUK MENGAJAK MASYARAKT MALAYSIA TERUTAMA PENONTON TV 9 YANG TELAH MENJANGKAU SEKITAR 600,000 ORANG – UNTUK MENCONTOHI DAN MENYOKONG USAHA-USAHA YANG DIBUAT OLEH JIM. PENDEKATAN MUAFAKAT INI BERSESUAIAN DENGAN TEMA UCAPAN DASAR PRESIDEN JIM DI PPN BARU-BARU INI YAITU “ MEMBINA MUFAKAT ALAM MENDAPAT RAHMAT”
KEMUNGKINAN – JIM DHL DAN JKK KAMPUNG DARUL HIDAYAH  AKAN DIJEMPUT DALAM PROGRAM TV 9 TALK SHOW “ NASI LEMAK KOPI O”, YANG PENGACARANYA IALAH PERSONALITI TERKENAL,  AZIZ DESA DALAM MEMBINCANGKAN ISU-ISU “ HUMAN INTEREST” INI.
JIM DHL MENDOAKAN ANAK-ANAK INI DAPAT TERUS DIBERI ALLAH KEKUATAN UNTUK TERUS MENGHARUNGI ALAM PENDIDIKAN YANG MENCABAR TANPA AYAH DENGAN CEMERLANG. UNTUK PENGETHAUNA NETTERS, SALAH SEORANG DARIPADA ANAK TERSEBUT BARU-BARU INI MENDAPAT 7A DALAM PEPERIKSAAN PMR.
MOHON DOA DARI SEMUA NETTERS  SUPAYA TERSIARNYA MODEL DAKWAH YANG DIPELOPORI OLEH JIM DHL INI DAPAT MELONJAKKAN DAKWAH DAN SOKONGAN MASYARAKAT DALAM KONTEKS AGENDA PENGISLAHAN UMMAH  KHUSUSNYA DALAM MENJAYAKAN RJIM 2.
JIM DHL INGIN MERAKAMKAN JAZAKUMULALLAH KHIRAN KEPADA SEMUA NETTERS YANG TELAH MEMBERIKAN SUMBANGAN IKHLAS BARU-BARU INI.
WASSALAMUALAIKUM.
KENYATAAN DIKELUARKAN OLEH :-
UST MOHD RUJHAN ADNAN – YDP JIM DHL
SYED OMAR SYED MOHAMAD – KETUA PERHUBUNGAN JIM DHL
3HB JAN 2010 , HULU LANGAT
 
Saksikan rakaman di

Program MUKHRIN (Mukhayyam+Tamrin)

Alhamdulillah.. Pada hujung minggu yang lepas, JIM IPT Daerah Hulu Langat telah berjaya melaksanakan Program MUKHRIN (Mukhayyam+Tamrin) untuk adik2 penggerak KARISMA M02 dan M01, program telah dihadiri oleh hampir 50 peserta. Salah satu slot adalah slot "Istiqamah dalam Dakwah" di mana mereka di kehendaki menziarahi tokoh-tokoh JIM/aktivis yang berada di beberapa Daerah di Selangor dan Negeri Sembilan. Objektif slot ini adlh untuk memberi simulasi suasana pindah daerah selepas adik2 grad dari IPT dalam masa yang sama mengambil mutiara-mutiara dari tokoh-tokoh JIM..

Kami JIM IPT Daerah Hulu Langat inging merakankan sekalung penghargaan untuk ikhwah dan akhawat yang sudi menerima kunjungan mereka serta menyantuni mereka dengan sngat baik.

1. Ust. Abdul Muhaimin (JIM Klang)
2. Makcik Siti Arfah bt. Dahwan (Wanita JIM Klang)
3. Makcik Ir. Endok Sempo (JIM Ampang Jaya)
4. Makcik Yusnani & Ummi Rose (Wanita JIM Gombak)
5. Akh Wan AM (JKP)
6. Akh Shamsul (JIM IPT PJ)
7. Akh Haliemy & Team, Prof Dr Ramlan Zailani & Ustaz Razi Rasyid (JIM Petaling)
8. Makcik Minah Ahmad (JIM N9)
9. Makcik Ila & Makcik Ummi (JIM Cheras)

Juga setinggi-tinggi penghargaan kepada YDP-YDP Daerah yang bertungkus lumus membantu kami mencari host-host di daerah antum.. Akh Farid (JIM Klang), Akh Syed Saleh (JIM Ampang Jaya), Akh Tarmizi (JIM Gombak), Akh Haliemy - Walaupun clash dgn prog lakoliti (JIM Petaling) dan yang lain-lain Yg AJK Kami telah hubungi..

Afwan kalau ada nama-nama yang ana tertinggal.. Jazakumullahu Khairan Katheera..

Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada Dr.Fuziah, KW Kuala Langat kerana berusaha untuk mencari rumah untuk accomodate adik2 tapi akhirnya tak dapat juga. Mungkin lain kali InsyaAllah..Tidak lupa juga kepada Akh Abu Dzar yang terpaksa cancel last minute sebab tuntutan kerja.. insyAllah dpt pahala niat..

Feedback yang sangat baik kami terima dari adik2. Ada yang terharu dengan ukhuwwah yang dihulurkan, ada yang kagum dengan semangat makcik2 dan pakcik2, dan yang pentingnya mereka mendapat mesej yang kami cuba nak terapkan iaitu istiqamah dalam dakwah.. Doakan semoga mereka dan kami akan terus tsabat dan menjadi penyambung kepada risalah ini..

Terima kasih daun keladi,
InsyaAllah nanti boleh terima kami lagi.

Bagi Pihak,
JIM IPT DHL...